11 August 2017 - KPTM Bangi Won 2016/2017 HEP Award

mak-hep-2017-2
ALOR SETAR

11 Ogos 2017

Majlis Anugerah Kecemerlangan Hal Ehwal Pelajar Kali Ke-3 2016/2017 yang berlangsung dengan gilang gemilang di TH Hotel Convention Centre Alor Setar semalam telah menyaksikan KPTM Bangi merangkul Anugerah HEP Terbilang 2016/2017.

Anugerah HEP Terbilang adalah anugerah yang mengiktiraf Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kampus Cawangan yang mencapai pelbagai kecemerlangan pada tahun 2016 dan pertengahan tahun 2017 terutamanya pelbagai kategori dalam kategori ini. Penerima anugerah ini menerima wang tunai berjumlah RM2,000, Piala Iringan, Piala Pusingan serta sijil penghargaan.

Tahniah kepada KPTM Bangi atas kejayaan mempertahankan status HEP terbaik bagi 3 tahun berturut-turut sejak anugerah ini diperkenalkan.

Tahniah dan syabas kepada semua pemenang dan penerima anugerah. Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh YB. Dato' Haji Ahmad Nazlan bin Idris, Pengerusi KPTM.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Hal Ehwal Pelajar anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar ini diadakan sebagai menghargai sumbangan pelajar khususnya dalam kegiatan sukan dan kokurikulum sepanjang 2016 dan pertengahan 2017 yang disertai didalam dan luar negara. Di samping itu, majlis ini juga sebagai penghargaan kepada kejayaan pengurusan asrama kolej yang berjaya menguruskan kediaman bagi keselesaan kepada pelajar.

Penglibatan pelajar dalam sukan dan kokurikulum amat digalakkan di KPTM sebagai mengimbangi aktiviti akademik dalam dewan kuliah dan tutorial. Pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) berasakan bahawa pelajar yang cemerlang dalam sukan dan kokurikulum juga harus dihargai. Maka dengan sebab itulah majlis ini diadakan dan pihak kolej diharap dapat mempergiatkan penganjuran dan penyertaan dalam sukan berimpak tinggi serta menyimpan rekod penglibatan pelajar dengan sistematik.

Penerima anugerah adalah terdiri daripada pelajar-pelajar dan staf dari KPTM seluruh Malaysia. Majlis ini akan turut dihadiri oleh Barisan Ahli Pengurusan KPTM di seluruh Malaysia.

Majlis kali ini memperkenalkan 8 kategori utama iaitu Anugerah Kokurikulum terbaik (KPTM Alor Setar), Anugerah Sukan terbaik (Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur), Anugerah Inovasi Terbaik (KPTM Bangi), Anugerah CSR Terbaik (KPTM Bangi), Anugerah Keusahawanan Terbaik (KPTM Kota Bharu), Anugerah Kediaman terbaik (KPTM Kuantan), Anugerah Khas Permata terbilang (KPTM Kota Bharu) serta Anugerah HEP Terbilang (KPTM Bangi).